Wednesday 23 December 2015

Berhati-Hati Dengan Dia

Sungguh saya tidak percaya, polemik yang berlaku di dalam negara ini benar-benar telah memberi kesan kepada setiap individu/masyarakat Malaysia. Iklim negara kita bertukar dengan sekelip mata, begitu juga dengan 'cuaca' rakyat Malaysia. Mereka berubah seiring dengan pergolakkan yang berlaku dalam negara kita. 

Saya tidak mahu menyentuh berkenaan perihal politik, kerana jika saya tersilap berkata-kata, padah menanti saya. Tetapi, saya masih belum mampu untuk meninggalkan politik ini secara total. Entah kenapa, saya juga tidak mengerti. Semakin saya melarikan diri, semakin ia laju menghampiri saya. 

Kenapa saya tidak menyukai dan cuba melarikan diri dari politik ialah untuk menjaga hubungan persahabatan dengan sahabat saya. Saya mempunyai sahabat yang pelbagai latar belakang politik. Ada yang se-fikrah dengan saya, ada juga yang 360 darjah berbeza jalur politik dengan saya. Dan kebanyakkan mereka ini tidak bersama mana-mana badan politik (Buat masa ini, saya tergolong dalam golongan ini). 

Saya berpengalaman setahun jagung terlibat dengan politik kampus. Ada perkara yang saya menyesal kerana melakukannya dan ada perkara yang saya bersyukur. Zaman muda-muda (Baca: Zaman universiti), saya tidak berfikir terlalu lama untuk melakukan sesuatu perkara. Kadang kala ia akan melepasi limit yang tidak patut saya lepasi. Biasalah, waktu itu darah masih muda. Jika ditoreh tangan ini, pasti darah memberontak akan kelihatan. Waktu itu cukup seronok jika orang tahu kita ini ada darah rebel ini. Fuh!

Dalam pada saya berseronok dalam imiginasi ciptaan saya sendiri, saya sebenarnya telah melukai ramai pihak. Ada yang telah perlahan-lahan mula menjauhkan diri dari saya. Unfriend di facebook itu perkara normal. Block juga ada yang melakukan perkara itu, tetapi bukan sebab politik. Ia lebih kepada soal hati. Haha. 

Dalam fasa-fasa akhir saya di universiti, mula bermain persoalan dalam diri saya:

" Apa sebenarnya yang telah saya lakukan? Benarkah ini yang saya mahukan? "

Titik tolak dari persoalan itu, saya tersedar dari imiginasi yang saya cipta sendiri. Saya kembali untuk membetulkan perkara yang telah saya lakukan. Waktu fasa imiginasi memang mudah, tetapi untuk menjernihkan suasana ini semula memang sukar. Saya terima cabaran ini dan masih dalam proses ke arah itu. 

" Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata, padah binasa "

Masih ada yang tidak senang dengan saya rupanya. Sampaikan ada yang sudah block saya di alam realiti. Saya ini dikatakan telah membawa pengaruh negatif kepada ramai pelajar. Boleh saya katakan di sini, saya adalah kepala kepada semua budak-budak yang punya jiwa memberontak. Sebenarnya, bukan memberontak tidak tentu hala, mereka ini memperjuangkan hak yang memang milik mereka. 

Sedih juga pada awalnya diperlakukan seperti ini. Semakin lama, saya nekad, biarlah mereka pula berada dalam imiginasi ciptaan mereka sendiri. Terpulang kepada mereka untuk memberi apa sahaja gelaran kepada saya. Asalkan mereka bahagia, silakan. Saya berharap pada suatu hari nanti, mereka juga akan tersedar dari imaginasi ciptaan mereka. 

Lebih seronok untuk saya ceritakan, saya juga telah berada dalam pemerhatian mereka yang bersama-sama dengan saya pada suatu masa dahalu. Sungguh saya terkejut bila mendengar akan perkara ini. Saya ingatkan hanya pihak sebelah sana sahaja yang jalankan misi pantauan terhadap saya. Rupa-rupanya, pihak di sebelah sini juga melakukan perkara yang sama. 

Akhirnya sekarang ini, saya berada di tengah-tengah antara dua pihak. Saya telah dianggap ancaman kepada dua-dua belah pihak. Haha. Tergelak saya bila memikirkan akan perkara ini. Adakah saya ini mempunyai kuasa pengaruh yang cukup hebat sampaikan perkara ini boleh berlaku? 

Akhir kata sebelum saya menutup entri kali ini:

Zaman universiti adalah zaman terbaik untuk kita mempelajari dan mengenal diri kita. Di sini kita akan mempersiapkan diri untuk menghadapi dunia yang sebenar nanti. Ambil peluang untuk berkenalan dengan semua jenis orang, belajar dari mereka yang pelbagai ini. Jangan lupa mencari sahabat yang mampu bersama kita saat suka dan duka. Huhu. 


Mohon maaf jika mengguris hati :)

Sekian

Amer Gerrard
The Typewriter


No comments:

Post a Comment