Thursday 10 December 2015

MAIN KIRA-KIRA WANG

Semua maklum, saya ialah graduan yang baru sahaja tamat belajar dalam bidang Farmasi di Universiti Kebangsaan Malaysia. Baru itu tidak lah baru sangat. Adalah dalam 4 bulan sudah saya tamat belajar. Menjadi kebiasaan kepada majoriti graduan baru (fresh graduate) ialah mencari kerja secepat yang boleh. Saya seperti kawan-kawan yang lain sedang menunggu panggilan temuduga SPA dan selepas itu perlu menunggu lagi untuk berkhidmat. 


Tidak mahu hanya sekadar menunggu, saya mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan lain sementara menunggu panggilan yang tidak saya tahu bila akan tiba. Alhamdulillah, pendapatan bulanan ini mampu menampung perbelanjaan harian dan perancangan saya pada masa hadapan. 

Perhatian, mengikut maklumat yang saya terima, terlalu banyak kes telah menunjukkan graduan baru muflis dengan sekelip mata. Saya akan kongsikan sedikit tips bagaimana saya menguruskan kewangan saya. 


1. Tinggal Bersama Keluarga 

Pada awal memulakan pekerjaan di Kuala Lumpur, saya tinggal di bersama sahabat di rumah sewa. Tidak lama saya tinggal di rumah sewa kerana saya mengambil keputusan tinggal bersama abang saya di Putrajaya. Kelebihan tinggal di rumah abang saya ini telah menjimatkan perbelanjaan wang saya seperti tidak perlu membayar sewa rumah, bil air dan elektrik. Dapat saya gunakan wang itu untuk kegunaan lain. 

Isu yang paling ketara di sini ialah jarak. Jarak perjalanan antara rumah abang saya (Putrajaya) dengan tempat kerja saya (Kg Baru, Kuala Lumpur) hampir 35KM. Perjalanan dari Putrajaya ke Kg Baru mengambil masa hampir 35 minit dengan menunggang motorsikal. 

Sebelum mengambil keputusan untuk tinggal dengan abang saya, saya telah lakukan kira-kira secara kasar perbelanjaan yang akan saya gunakan. Alhamdulillah, motorsikal masih belum dikenakan tol. Saya hanya perlu membelanjakan RM5 sehari untuk minyak motor. Untuk 30 hari perjalanan, saya akan membelanjakan RM150 hanya untuk minyak motor. 

Jangan lupa, saya tidak perlu membayar sewa rumah dan bil elektrik. RM150 sebulan saya berasa puas hati.

2. Tidak Beli Kereta

Jangan salah faham kenyataan ini. Haha. Statistik menunjukkan sebab utama graduan baru muflis ialah kerana kereta. Antara tips yang saya terima dari pakar-pakar @ sifu-sifu, elakkan membeli kereta pada fasa awal pekerjaan. Untuk perancangan 2 tahun mendatang ini saya akan cuba untuk tidak membeli kereta.

Mempunyai kereta pada ketika ini bukan keutamaan saya. Saya masih lagi boleh pergi kerja dengan menunggang motorsikal dan ia lebih menjimatkan. Berjaya mengelak tol dan servis bulanan kereta yang tinggi. Tapi, saya akan mengambil lesen kereta dalam fasa ini. Jangan terkejut, saya masih belum mempunyai lesen kereta lagi. Rider sejati :P

3. Mempunyai Simpanan Masa Hadapan

Gaji kecil bukan bermakna kita tidak mampu untuk menyimpan. Orang bergaji besar pon kadang kala tidak berjaya menyimpan. Ini semua bergantung kepada bagaimana kita mengurus wang kita. Saya baru sahaja membuka akaun Tabung Haji. Tindakkan saya ini agak lambat berbanding orang lain. Biar lambat jangan tidak buat langsung. Semua maklum, Tabung Haji menawarkan dividen 6%-8% setiap tahun. Tidak cukup menguntungkan kah? :P

Setiap awal bulan, saya akan memindahkan sedikit duit dari Bank Utama (Bank Gaji) kepada Tabung Haji. Ingat, duit di dalam Tabung Haji ini bukan untuk dibelanjakan seharian. Ini duit untuk masa hadapan. Nak juga menjadi Haji. Huhu. 

Ada juga sahabat yang menyimpan di ASB. Terpulang kepada kita, ASB dan Tabung Haji dua-dua baik. Ia berbalik kepada diri sendiri. Saya secara peribadi hanya menyimpan di Tabung Haji. InsyaAllah, saya akan cuba merebut kuota Bank Rakyat. Tidak salah mencuba. 

4. Pelaburan Itu Perlu?

Pada akhir Oktober lepas, saya telah mengambil keputusan untuk melabur di Unit Trust CWA. Adalah sedikit jumlah wang telah diletakkan di sana. Dan saya telah mengambil plan yang membenarkan saya tambah wang setiap bulan dan had minimum adalah RM200/bulan. 

Buat masa ini, saya hanya menambah sekali wang ke dalam Unit Trust kerana saya ada perancangan lain. Dikatakan Unit Trust itu untuk jangka masa panjang. Biarlah duit itu di situ. Beranak pinaklah wang di situ hendaknya ya :P

Pelaburan ini adalah bidang yang akan saya fokuskan pada masa hadapan. Pada masa ini, saya akan mengumpul ilmu sebanyak mungkin. Tiada ilmu, jangan berani nak keluarkan duit kita. Pesanan ikhlas. 

5. Takaful Perlindungan 

Alhamdulillah, saya baru sahaja dalam proses mengambil Takaful Prudential BSN. Pakej ini lebih banyak untuk medical card. Hampir 75% dibayar untuk medical card. Dalam pakej yang saya ambil ini, ada juga untuk simpanan. Dan saya boleh menambah nilai untuk simpanan itu. Berlindung sambil menyimpan.

Dicadangkan untuk graduan baru, bajet RM140-RM200 sudah mencukupi kata sifu-sifu. Jadi, bajet saya itu menepati ciri-ciri graduan baru. Hihi. 

Pesanan, tahun hadapan kos perubatan akan meningkat lagi. Di tambah pula jika kerajaan menandatangani TPPA, pasti kos perubatan akan melambung tinggi. Sekurang-kurangnya saya telah mempunyi perlindungan (Masih dalam proses :P )

6. Main Kutu 

Untuk makluman, saya juga bermain kutu dengan sahabat saya. Saya ada 2 kumpulan kutu. Setiap kumpulan memerlukan komitmen saya membayar RM50/bulan. Total, saya perlu mengeluarkan wang RM100/bulan untuk geng kutu saya. Giliran saya untuk kumpulan pertama telah saya terima. InsyaAllah pada bulan Januari 2016, giliran saya pula untuk menuai hasil wang kutu dari kumpulan kedua. 

Saya ada sebab kenapa saya membuat pilihan bermain kutu. Saya bermain kutu untuk mengumpul modal bagi pelaburan yang akan saya lakukan. Akhirnya, duit kutu itu sudah berada dalam Unit Trust CWA. Dan saya sudah ada perancangan untuk duit kutu kumpulan kedua yang akan saya terima pada Januari 2016 ini :)

7. Perbelanjaan Harian & Wang Kecemasan

Semestinya, kita perlu ada akaun simpanan perbelanjaan harian kita dan juga wang kecemasan. Tidak perlu kita nak mengorek duit dari akaun simpanan masa hadapan seperti Tabung Haji, ASB dan lain-lain. Saya ada cara bagaimana saya nak menentukan wang perbelanjaan harian saya mencukupi. 

Setiap hari, saya akan mencatat wang perbelanjaan harian saya. Wang makan, minyak motor, beli belah, dan lain-lain akan saya catat secara terperinci. Akhir bulan saya dapat melihat berapa banyak wang perbelanjaan yang saya gunakan setiap bulan. Bolehlah saya merancang untuk bulan berikutnya. 

8. Emas

Alhamdulillah, saya ada lah sikit. Itu sahaja nak bagitahu :P

9. Mak & Abah 

Sebelum saya terlupa, jangan lupa untuk menyumbangkan sejumlah wang kepada mak dan abah kita setiap bulan. Berbaki kepada mereka selagi kita mempunyai kesempatan ini. Hidup sudah 24 tahun ditanggung mak dan abah, sekarang waktu untuk membalas semula. 

Wang itu banyak atau sedikit jangan difikirkan selalu. Beri kepada mereka apa yang kita mampu beri. InsyaAllah :)

---------------------------------

Penutup

Simpanan, pelaburan, perbelanjaan, wang kecemasan, dan lain-lain seperti yang saya nyatakan di atas (Kecuali emas) datangnya dari wang yang saya peroleh setiap bulan bermula September 2015. Saya ingin nyatakan di sini, wang banyak atau sedikit, ia semuanya bergantung kepada cara kita mengurus wang itu. 

Saya kongsikan komitmen Januari 2016 yang perlu saya lunaskan:

1. Simpanan Masa Depan
2. Unit Trust (Fleksibel) 
3. Takaful
4. Wang Kutu
5. Mak & Abah
6. Hadiah 

Saya minta maaf kerana saya bukan pakar atau sifu, ia sekadar berkongsi. Jika ia bermanfaat, kongsi kepada orang lain juga ya :)

Yang Benar






No comments:

Post a Comment